Petua Murah Rezeki
Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah
limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan
pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah
memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam
pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan a...khirat. Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya
dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku
maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak
melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku
tidak menutup kefakiranmu. (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan
al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan
Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya
lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi
s.a.w.: “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan
menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan
memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu
Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan
saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang
dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang.Ini
rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu)
orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati
Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Ar-Ra’d: 28)
5.Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis
riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin
panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu
bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah
akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala,
at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim) Mendoakan ibu bapa juga menjadi
sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba
itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah
rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan
meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga
isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu
diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah
di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam
bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: “Siapa yang
menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…”
(Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang
menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana
selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran
serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.
Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas
berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati,
kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.
Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati,
melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian
sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11 . Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan
dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.”
(Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab
desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa
perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w.
bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya
Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid
al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah
dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada
Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba
itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap
hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada
orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang
menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-
Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh
rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan
doanya dimakbulkan Allah
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan
solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia
(aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam
hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas
mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti
pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat
al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur
ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya
adalah kufur nikmat. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya
jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7).
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang
yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan,
menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk
keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat
terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten
tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah
lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah ,
al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan
pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya
Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami
untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya
`Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah
setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung
dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah
suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih
dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan
yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang
dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim). Bagi
orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa
kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang
dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam
rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan
halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik,
hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah.
Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah
mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3) Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal,
nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari
lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu
Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada
takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara
yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak
terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3) Pendek kata, bagi orang Islam,
untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat
amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih
sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan
rasa kaya dengan pemberian-Nya.
No comments:
Post a Comment